SMK Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

SMK Tuanku Muhammad, Kuala Pilah, Negeri Sembilan

DADAH DARI SEGI AGAMA

 

Dadah menurut pandangan Islam

Hukum dan larangan pengambilan dadah adalah jelas haram berdasarkan kepada dalil yang dikiaskan kepada arak. Dalam Al-Quran banyak menyebut mengenai pengharaman arak dan dalil pengharaman ini berdasarkan kepada keterangan nas-nas (Al-Quran dan Al-hadis) kerana ia termasuk dalam pengertian umum benda-benda yang memabukkan, menghilangkan akal dan kedua-duanya mempunyai alasan hukum yang sama iaitu memabukkan atau terdapat keburukan-keburukan dan membawa kebinasaan terhadap individu-individu dan masyarakat. 

Ini dapat dibayangkan melalui Firman Allah S.W.T. dalam suruh Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud : 

"Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan..” Surah Al-baqarah : 195

Dadah juga menghancurkan rumah tangga, keluarga yang dinaungi oleh ketua yang mengguna atau menagih dadah akan menimbulkan pelbagai kesulitan dan masalah. 

Antaranya tidak dapat menyediakan nafkah yang diperlukan oleh keluarga, bahkan memaksa isteri dan anak-anak memberi wang untuk membeli dadah. Sebagai ketua keluarga, Islam menitikberatkan mengenai kehidupan anggota keluarga agar dipelihara dengan sebaik-baiknya.

Firman Allah S.W.T. dalam surah At-Tahrim ayat 6 yang bermaksud : 

“..Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka...” Surah At-Tahrim : 06

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : 

“Seseorang itu adalah berdosa jika dia menyempitkan orang yang dibawahnya.” Riwayat Ahmad dan Abu Daud

Menurut fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Al Diar Al Masriah Al-Sabiq (bekas Mufti Mesir), Al Syeikh Hasanin Makhluf dalam kitabnya, “Fatwa Al – Syari’iyah” (muka surat 184) bahawa dadah adalah haram hukumnya dari segi penggunaan, pemberian dan membuat jualan perniagaan, mengikut Mazhab Hanafi, Mazhab Syafie dan Al Syeikh AlIslam Ibnu Taimiyah, tokoh Ulama Hambali.

Pendapat Ulama

Berdasarkan kepada ayat-ayat Al-Quran dan Hadis ini jelaslah bahawa penyalahgunaan dadah hukumnya haram. Pengharaman ke atas dadah meliputi semua kegiatan yang berkaitan dengannya seperti yang diriwayatkan oleh Termizi dan Ibnu Majah, bahawa Rasulullah s.a.w pernah melaknat tentang khamar (arak).

Rasulullah s.a.w. melaknat tentang khamar, sepuluh golongan:

  1. Pembuatnya
  2. Pengedarnya
  3. Peminumnya
  4. Pembawanya
  5. Pengirimnya
  6. Penuangnya
  7. Penjualnya
  8. Pemakan wang hasilnya
  9. Pembelinya
  10. Pemesannya

Oleh yang demikian, bolehlah disimpulkan bahawa semua kegiatan yang berkaitan dengan dadah adalah haram hukumnya seperti :

  • Menanam sebarang bahan untuk menghasilkan dadah
  • Memproses sebarang bahan untuk menghasilkan dadah
  • Menjual beli dadah.
  • Menggunakan keuntungan hasil daripada perniagaan dadah dan sebagainya yang berkaitan

No comments: