Sesebuah masyarakat progresif tidak dapat dicapai tanpa mengambil kira masyarakat yang sejahtera. Sejahtera bermaksud aman dan makmur, senang dan tenteram, terpelihara daripada bencana seperti kesusahan, gangguan dan sebagainya.
Kesejahteraan yakni aman dan makmur adalah bukti kemurahan Allah SWT menurut Surah Saba’ ayat 15:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’ satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu; dua kumpulan kebun (yang luas lagi subur), yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (lalu dikatakan kepada mereka, “Makanlah daripada rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepada-Nya (negeri kamu ini adalah), negeri yang baik (aman dan makmur) dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan yang Maha Pengampun.”
Usaha meningkatkan kesejahteraan masyarakat melalui kesihatan dan keselamatan juga adalah selari dengan 17 Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang diketengahkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) iaitu Matlamat 2 ‘Kelaparan Sifar’ dan Matlamat 16 ‘Keamanan, Keadilan dan Pertubuhan Kukuh’. Ia merupakan sebuah agenda global yang ingin dicapai pada tahun 2030 oleh semua negara termasuk Malaysia.
Antara aspek kesejahteraan dalam masyarakat di Malaysia yang penting ialah masyarakat yang sihat dan masyarakat yang selamat. Masyarakat sihat mengambil kira masyarakat yang mencapai tahap kesihatan yang baik dengan mengamalkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesihatan masyarakat melalui sistem penjagaan kesihatan sejagat.
Masyarakat selamat pula mengekalkan persekitaran yang selamat dan terjamin dengan mengurangkan perasaan takut akan jenayah melalui libat sama masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang.
su penyalahgunaan dadah masih lagi merupakan musuh utama negara kerana ia merosakkan generasi akan datang di samping meningkatkan permasalahan jenayah. Masalah ini bertambah kompleks dengan kemunculan dadah sintetik baharu yang lebih mudah dihasil dan diedarkan.
Usaha berterusan bagi menangani isu dadah perlu dilaksanakan dengan memberi tumpuan kepada pendekatan komprehensif dan seimbang menggunakan lima teras utama iaitu melalui kaedah (1) Pendidikan pencegahan, (2) Rawatan dan pemulihan, (3) Penguatkuasaan undang-undang, (4) Pelaksanaan hukuman, dan (5) Pengurangan kemudaratan dan kerjasama strategik bersama pelbagai pihak berkaitan (Agensi Antidadah Kebangsaan, 2019) dalam usaha membanteras gejala dadah yang terkandung dalam Dasar Dadah Negara 2017.
Hasrat murni ini hendaklah diusahakan bersama tanpa mengira kaum dengan membina kesepaduan sosial dan perpaduan nasional. Pelbagai usaha yang bersungguh-sungguh perlu dilakukan dengan terancang dan berhati-hati agar matlamat Malaysia menjadi negara rahmah yang diimpikan menjadi kenyataan.
- Asma' Binti Ahmad-
SPADA USIM Kohort 10
No comments:
Post a Comment