Selamat Datang ke Tuanku Muhammad School Blog PPDA
LATAR BELAKANG SEKOLAH
Sekolah Tuanku Muhammad bermula dengan kelas Bahasa Inggeris yang telah dibuka oleh Encik Pyne, seorang kerani. Kelas ini bertempat di sebuah bangunan lama berhampiran dengan Bangunan Union iaitu Bangunan Syarikat Bas United pada masa ini. Pada tahun 1908, Kuala Pilah English School telah dibuka sebagai sebuah sekolah persendirian. Sekolah ini bertempat di Bangunan Mahkamah di Pejabat Daerah Lama. Kuala Pilah English School ini telah dibiayai oleh seorang dermawan tempatan iaitu mendiang En. Tung Yen. Guru besarnya ketika itu ialah Mr. De Witt.
Pada tahun 1914, Government English School telah dibuka. Guru besarnya yang pertama ialah Mr. J. W. Moore. Semasa dibuka, pelajar-pelajarnya ialah seramai 21 orang dan sehingga akhir tahun tersebut pelajar-pelajarnya telah meningkat kepada 51 orang. Adalah dipercayai bangunan Government English School ini pernah didiami oleh Martin Lister.
Almarhum Tuanku Muhammad
Pada tahun 1918, bangunan baru telah pun siap dibina. Bangunan itu ialah Sekolah Kebangsaan Kuala Pilah yang pernah digunakan sebagai Pejabat Pendidikan Daerah KPJJ. Pelajar-pelajarnya berpindah ke bangunan baru ini. Guru besarnya ialah En. Nonis. Sekolah ini terus berkembang dan pada tahun 1924, pelajar-pelajarnya telah meningkat kepada 200 orang dengan 6 orang guru. Pada tahun itu juga, pelajar-pelajar sekolah ini telah ditawarkan untuk mengambil Peperiksaan Junior Cambridge.
Pada tahun 1929, bilangan pelajar telah meningkat kepada 331. Pertambahan bilangan pelajar inilah yang membawa kepada pembinaan Sekolah Tuanku Muhammad yang ada sekarang ini. Tapak bangunan baru ini telah dicadangkan oleh En. Gordon Hall. Dengan itu, terbinalah Sekolah Tuanku Muhammad pada tahun 1930 yang dapat menampung 300 orang pelajar dengan kos binaannya kia-kira $105,995.00.
Selepas kemangkatan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Muhammad pada tahun1933, Government English School ini ditukar namanya kepada Tuanku Muhammad School bagi memperingati Al-Marhum. Bangunan asrama putera pula telah dibina pada tahun 1938 dan dapat menempatkan kira-kira 26 orang penghuni.
Semasa pemerintahan Jepun, Tuanku Muhammad School telah digunakan oleh Tentera Jepun. Segala peralatan sekolah, buku-buku teks dan perpustakaan telah dimusnahkan atau dibakar.
Adalah dipercayai askar-askar Jepun ini telah menanam mangsa-mangsa yang dibunuh di bahagian belakang asrama. Sementara itu, padang sekolah digunakan untuk menanam sayur-sayuran dan ubi kayu.
Setelah tamat pemerintahan Jepun, Tuanku Muhammad School dibuka semula pada 7hb. September 1945 dan Mr. Francis menjadi Guru Besarnya.
Sekolah Tuanku Muhammad terus bekembang maju selepas Perang Dunia Kedua. Dalam tahun 1948, bilangan pelajar yang didaftarkan ialah kira-kira 760 orang. Pada tahun yang sama, sekolah rendah iaitu Tuanku Muhammad Primary, sekarang dikenali sebagai Sekolah Rendah Tuanku Munawir telah dibuka.
Tuanku Muhammad Primary ditempatkan di sekolah ini sehingga tahun 1978, yang kemudianya berpindah ke Bukit Gentam sehingga sekarang. Bangunanya juga masih kekal di tempat asal.
Pada tahun 1951, bangunan tambahan telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Pada tahun 1952, bangunan makmal di tepi Jalan Tampin telah dibina. Serentak dengan itu, Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Kurshiah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Ampuan untuk menempatkan pelajar perempuan.
Dengan itu, Sekolah Tuanku Muhammad menjadi sekolah untuk pelajar lelaki, sebelum diterima semula pelajar perempuan pada tahun 2000.
Pada tahun 1953, sebuah lagi blok bangunan telah dibina untuk menempatkan pelajar-pelajar yang akan mengambil peperiksaan School Certificate iaitu yang pertama di Daerah Kuala Pilah tetapi malangnya tidak ramai pelajar yang berjaya memasuki sekolah ini.
Sehingga tahun 1955, bilangan pelajar terus meningkat sehingga 1000 orang.
Tahun 1955 juga, sekolah telah menyambut Jubli Perak dan membuatkan pengetua pada zaman itu, Mr. N.R Miller telah menanam sebaris pokok palma (Royal Palm) di hadapan "Main School" bagi memperingati Jubli Perak.
Tahun 1956 merupakan tahun pramerdeka dan terdapat banyak perubahan dalam sistem pendidikan pada masa itu. Sekolah Tuanku Muhammad, untuk kali pertamanya mengadakan Peperiksaan Lower Certificate Of Education (LCE) untuk pelajar-pelajar tingkatan tiga.
Dalam pada itu, Bahasa Melayu menjadi mata pelajaran wajib bagi semua pelajar.
Pada tahun 1958, kelas-kelas peralihan diadakan untuk membolehkan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah bukan Inggeris untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah. Pada tahun 1959, pendidikan Vokasional diperkenalkan bersama-sama dengan pembukaan blok seni perusahaan.
Pada tahun 1964, sekolah ini telah menyambut Jubli Emas sempena meraikan 50 tahun pendidikan di Daerah Kuala Pilah. Pada tahun 1968 pula, perpustakaan telah dibuka dan dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan pada masa itu iaitu Encik Khir Johari.
Kedai buku sekolah telah dibuka pada tahun 1970 dan pada tahun yang sama peperiksaan Higher School Certificate (Arts) dimulakan. Pada tahun 1972, bilik-bilik darjah dan makmal-makmal sains tambahan telah dibina untuk mengelakkan daripada mengadakan kelas-kelas sesi petang. Dalam tahun 1974, sekolah telah menyambut Jubli Berlian dan dua perkara penting telah dicatatkan iaitu pembukaan dewan sekolah yang baru dan permulaan kelas-kelas tingkatan enam sains.
Gelanggang sukan yang mengandungi gelanggang tennis, bola keranjang, sepak takraw dan bola tampar telah pun dibina dan dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Jaafar pada 28 Ogos 1985.
Sekolah Tuanku Muhammad merupakan satu-satunya sekolah yang terkemuka lagi tertua di daerah Kuala Pilah dan menjadi tumpuan pelajar dari setiap golongan dan peringkat. Ramai bekas pelajar sekolah ini telah berjaya menjadi pemimpin dan pentadbir terkemuka di negara ini.
TMS mempunyai sebuah pasukan pancaragam namun telah dihentikan kegiatanya akibat sebab sebab yang tidak dapat dipastikan. Pada tahun 2004, sekolah ini telah diisytiharkan Sekolah Harapan Negeri oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS), dan pada tahun 2011, sekolah ini diisytiharkan pula sebagai Sekolah Premier negeri oleh JPNS.
Pada tahun 2014, sekolah ini telah menyambut 100 tahun penubuhanya. Sebuah tugu telah didirikan di hadapan Bangunan Bersejarah, yang dirasmikan oleh Alumni Kehormat TMS, iaitu DYMM Yang Di-Pertuan Besar Tuanku Muhriz ibni Tuanku Munawir.
ALUMNI
Alumni TMS dikenali sebagai Alumni TMS. Persatuan ini juga mempunyai yayasan mereka sendiri iaitu Yayasan Alumni TMS. Yayasan ini bertujuan memberikan pelbagai bentuk sumbangan kepada pelajar kurang berkemampuan. Yayasan ini juga memberikan sumbangan kepada orang yang kurang berkemampuan serta Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah ketika kemuncak pandemik virus COVID-19 pada Mei 2020. Antara Alumni TMS ialah:
• Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir (Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Ke-11)
• Tunku Najihah binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin (10th Tunku Ampuan Besar of Negeri Sembilan & 10th Malaysian Queen)
• Datuk Mansor b. Othman (Menteri Besar Negeri Sembilan Ke-7)
• Nasimuddin Amin (NAZA Corporation Founder)
• Tan Sri Datuk G. Gnanalingam (Executive Chairman of Westports Malaysia)
• Profesor Low Teck Seng (CEO of Singapore National Research Foundation)
• Tan Sri Dato' Hashim bin Meon (ex Chief Secretary Minister of Defence & ex Selangor State Government Secretary).
• Allahyarham Datuk Ahmad Mokhtar Selat (ex Malaysia Ambassador to Peru)
• Raja Tan Sri Muhammad Alias Raja Muhammad Ali (Felda Chairman)
• Abu Zahar Ujang (bekas Speaker Dewan Rakyat)
• Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Ambassador Haji Abdul Aziz Zainal (bekas Jeneral ATM ke-14 dan Presiden PERNAMA)
• Jeneral (B) Tan Sri Datuk Seri Mohd Sharom Dato' Hj. Nordin (bekas Panglima Tentera Darat Malaysia dan Pengerusi SME Ordance Sdn Bhd)
• Hasan Malek (Duta Besar Malaysia ke Kemboja)
• Senior Asst. Commisioner (SAC) Shahrul Othman Mansor (Pengarah Jabatan Siasatan & Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman)
• Abdul Rahim b. Ahmad (Pemenang Pingat Pertama untuk Sejarah Pasukan Olimpik Malaysia)
3 comments:
wahh aturan blog yang kemas dan cantik 👍 selamat maju jaya
Alhamdulillah. Terima kasih atas sokongan kepada kami
terbaik 👍
Post a Comment